Ketua jurulatih skuad bolasepak negara, Tan Cheng Hoe, lega kesemua pemain yang terlibat dalam final Piala Malaysia kelmarin sudah kembali melaporkan diri dalam keadaan cergas kecuali pemain tengah, Kenny Pallraj, yang cedera.

Lima pemain lain Perak yang ditunjangi Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan dan penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, sudah kembali ke kem kebangsaan selepas dua hari menjulang Piala Malaysia.

Kenny dilaporkan mengalami kecederaan kecil pada kaki kanan dan Cheng Hoe masih menanti laporan penuh perubatan mengenai keadaan pemain tengah itu.

Seorang lagi pemain tengah kebangsaan, Akhyar Rashid, diberikan rehat sehari selepas menyelesaikan tugasan bersama skuad B-19 negara dalam saingan Piala AFC di Jakarta, minggu lalu dan dijangka melaporkan diri, esok.

"Mereka telah melaporkan diri petang ini dan kesemua mereka kelihatan ceria tanpa sebarang tanda-tanda keletihan.

"Suasana cukup ceria kerana kami dapat mengumpulkan kesemua pemain dalam sesi latihan kali ini," kata Cheng Hoe.

"Ia hanya kecederaan ringan. Saya masih boleh bermain, namun ia masih bengkak.

"Mungkin dalam masa satu atau dua hari lagi saya sudah boleh kembali berlatih," kata Kenny.

Cheng Hoe juga menegaskan bahawa perlawanan persahabatan menentang Maldives, 3 November ini akan menjadi medan terakhir untuk pemain-pemain membuktikan kemampuan sebelum mengumumkan barisan terbaiknya bagi menghadapi Piala AFF, 8 November ini.

"Yang penting adalah setiap pemain memaparkan permainan yang baik.

"Apabila itu berlaku kami akan mendapat keputusan yang baik.

"Kami di barisan kejurulatihan masih mencari senarai pemain terbaik yang akan kami gunakan dalam kempen Piala AFF nanti," tambah Cheng Hoe.

Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan peluang untuk pemain tengah Perak, Brendan Gan dan pemain Terengganu, Faiz Nasir sudah tertutup rapat untuk kempen kali ini.

Brendan dan Faiz mempamerkan aksi memberangsangkan dalam membantu pasukan masing-masing ketika final Piala Malaysia, kelmarin.

"Setakat ini kami telah menyenaraikan 26 pemain jadi mereka mungkin akan mendapatkan pulang mereka di masa yang akan datang.," katanya lagi.