Pandemik Covid-19 menjadikan pengendali negara, Tan Cheng Hoe, lebih bersedia dengan pelbagai rintangan, ia termasuklah dengan penjadualan Liga malaysia yang masih kekal misteri sehingga kini.

Ia diakui Cheng Hoe kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, menjelang misi penting kelayakan Piala Dunia/Piala Asia, Oktober ini.

Kemahuan pengendali itu sebelum ini sangat jelas untuk persiapan anak buahnya bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia.

Buktinya, skuad negara sepatutnya terbang ke Bahrain untuk aksi persahabatan antarabangsa Mac lalu namun terpaksa dibatalkan ekoran Covid-19.

Ternyata, pandemik yang melanda dunia itu merencat segala perancangan, tetapi pada masa sama ia menjadikan seseorang individu itu lebih bersedia.

Dan itu berlaku kepada Cheng Hoe apabila sedia menerima apa jua ketetapan Liga Bolasepak Malaysia untuk saingan Liga-M.

"Bagus sekiranya liga boleh bermula awal, tetapi saya perlu menghormati keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tetapkan jadual tersebut. Ini kerana Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL sentiasa berbincang tentang jadual liga dan tarikh untuk latihan skuad negara. Untuk pasukan negara, kita akan bermula latihan pusat pada hujang September.

"Memang disebabkan Covid19 ada sedikit gangguan dari kelancaran pasukan tetapi saya tidak boleh memberi alasan tersebut sekiranya skuad kebangsaan tidak boleh beraksi dengan baik. Saya sentiasa memberi nasihat kepada pemain dan saya percaya mereka pun tahu apa yang perlu dilakukan untuk tiga perlawanan akan datang," kata Cheng Hoe.