Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bersikap positif terhadap sebarang keputusan Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan (JPPK) ,Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan menentukan nasibnya bulan depan setelah badan induk itu memberi petanda baik kontraknya akan dilanjutkan.

Nasib Cheng Hoe hanya akan ditentukan dalam mesyuarat JPPK bulan depan tatkala kontraknya bakal berakhir Isnin ini.

Berdasarkan situasi itu, Cheng Hoe dijangka kekal membimbing Harimau Malaya dengan khidmatnya bakal dilanjutkan FAM berdasarkan pencapaian skuad negara dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF 2018.

Diminta mengulas mengenai perkara itu, Cheng Hoe enggan memberi komen lanjut tetapi tidak menafikan sudah dimaklumkan oleh FAM mengenai statusnya bersama skuad kebangsaan.

"Saya kekal positif dan bersedia untuk menerima sebarang keputusan yang dilakukan oleh FAM," kata Cheng Hoe.

Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Yusof Mahadi, menjelaskan tiada sebab buat FAM tidak menyambung kontrak bekas jurulatih Kedah itu selepas kemampuannya dibuktikan menerusi kejayaan skuad negara muncul naib juara Piala Suzuki AFF.

"Prestasi menjadi kriteria utama untuk mengekalkan seseorang jurulatih, saya melihat tiada perubahan berdasarkan persembahan yang dipamerkan skuad negara bagi tahun 2018," katanya.

Yusoff turut mengesahkan mesyuarat JPPK itu nanti bukan sahaja akan menentukan nasib Cheng Hoe, malah memutuskan kedudukan barisan kejurulatihan skuad futsal negara di samping mengenal pasti calon jurulatih skuad B-16 negara.