Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Tan Cheng Hoe, menjangkakan 26 pemain dalam kem kebangsaan akan bermati-matian merebut tempat ke Piala AFF ketika keputusan sukar perlu dibuat selepas perlawanan persahabatan menentang Maldives, Sabtu ini.

Tiga pemain bakal disingkirkan daripada senarai 26 yang dibentuk Cheng Hoe bagi fasa akhir persiapan menghadapi kejohanan itu.

Selain aspek keberkesanan pemain kepada taktikal, Cheng Hoe juga memantau tahap kecergasan beberapa individu yang dibelenggu kecederaan.

Antaranya aset bahagian tengah dan serangan skuad negara, Akhyar Rashid, yang melalui musim padat dan baru sahaja melapor diri semalam.

"26 pemain yang bersama skuad negara mahu mendapatkan tempat dalam skuad yang bakal bersaing dalam Piala AFF. Selepas aksi persahabatan berdepan Maldives, kami akan mengumumkan tiga pemain yang tidak akan bersama pasukan," katanya.

Cheng Hoe juga sempat berbicara mengenai peningkatan kualiti saingan di pentas ini berdasarkan perkembangan semasa.

Ini dibuktikan Filipina yang merantai khidmat bekas jurulatih England, Sven Goran Erikssen.

"Seluruh Asia Tenggara menantikan kejohanan ini dan Filipina telah mengambil serius dengan melantik bekas pengendali England," ujarnya.

Skuad bola sepak negara mendapat suntikan moral menjelang persiapan menghadapi Piala AFF 2018 apabila menerima kehadiran peminat cilik dalam sesi bertemu peminat semalam hasil anjuran penaja 100Plus.

Sesi yang dianjurkan oleh minuman isotonik, 100Plus, ini menghimpunkan 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 11, Shah Alam hadir ke sesi latihan skuad negara di Institut Semarak Felda, Bangi.

Lebih menarik, kesemua pelajar ini merupakan peserta dalam saingan Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain berperanan sebagai penaja untuk skuad bolasepak Malaysia, 100Plus juga bertindak sebagai penaja rasmi untuk Kejohanan Piala AFF 2018.

Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan A akan bersaing bersama Vietnam, Laos dan Kemboja.