Cheng Hoe harap Adam pulih segera

Oleh Azizan Hashim 13 Oktober 2019 10227
Cheng Hoe harap Adam pulih segera
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, berharap Nor Azam Azih cepat pulih daripada kecederaan buku lali bagi menambah kekuatan pasukan negara dalam kempen pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Ketiadaan pemain tengah Pahang itu nyata menjejaskan jentera tengah pasukan negara seperti yang berlaku dalam perlawanan menentang Vietnam di Hanoi, Khamis lalu.

"Kepulangan Adam memang dinantikan. Kita ada lebih tiga minggu untuk membuat persiapan dan saya harap segalanya akan berjalan dengan lancar," katanya

Cheng Hoe membayangkan tidak akan melakukan rombakan besar-besaran terhadap barisan pemain negara bagi menghadapi Thailand dalam perlawanan keempat di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 November ini.

Ini kerana beliau masih berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pemain negara sepanjang kempen kelayakan berlangsung.

"Saya rasa pemain-pemain utama dalam pasukan akan dikekalkan, cuma mungkin kalau ada rombakan pun mungkin membabitkan satu atau dua pemain sahaja."

Dalam kempen kelayakan Piala Dunia kali ini, Malaysia masih kekal dengan tiga mata dan menduduki tangga keempat Kumpulan G selepas mengharungi tiga perlawanan.

Malaysia menang 3-2 ke atas Indonesia tetapi kemudian tewas 1-2 di tangan UAE dan 0-1 kepada Vietnam.

Mengulas pertemuan dengan Thailand, Cheng Hoe berkata ia perlawanan yang penting untuk barisan negara mengutip mata penuh, sekali gus memperbaiki kedudukan.

"Kita tak boleh sia-siakan peluang ini, lebih-lebih lagi sebelum ini kita dah kalah kepada Vietnam. Jadi, ia sedikit-sebanyak menjejaskan langkah ke peringkat ketiga dalam kelayakan Piala Dunia," katanya.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen