Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, sedang berusaha mencari ruang untuk mendapatkan peluang mengumpul pemain bagi kem latihan bulan hadapan jika saingan Liga Malaysia 2021 ditunda.

Masa kian suntuk buat Cheng Hoe jika saingan liga bermula seperti yang telah dijadualkan.

Dia hanya berpeluang mengumpul barisan pemain seminggu sebelum perlawanan keempat kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kami berharap situasi semasa dapat dikawal dan memastikan kami dapat membuat persiapan bagi menghadapi saingan kelayakan," kata Cheng Hoe.

Pertemuan dengan UAE akan berlangsung 25 Mac ini dan Cheng Hoe hanya memiliki masa kurang seminggu untuk mempersiapkan pasukan sebelum berlepas ke Bahrain untuk aksi persahabatan pada 19 Mac.

Kali terakhir skuad negara berkumpul sebagai satu pasukan adalah pada Disember 2019.