Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, enggan cepat berpuas hati walaupun kesan yang ditampilkan muka lama seperti Norshahrul Idlan Talaha dan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh, memberi gambaran positif terhadap persediaan Malaysia untuk menghadapi Piala AFF 2018.

Ini susulan kejayaan menewaskan Sri Lanka 4-1 dalam aksi persahabatan di Colombo, malam tadi.

Secara keseluruhan, Cheng Hoe melihat beliau memiliki barisan pemain yang mampu mengulangi kejayaan sama lapan tahun lalu.

Dalam masa yang sama, jurulatih itu tetap menantikan kelibat pemain negara yang masih ada tugasan bersama pasukan masing-masing dalam saingan Piala Malaysia.

"Saya masih menantikan kelibat Safawi Rasid dan beberapa pemain lagi untuk memantapkan bahagian serangan.

"Kami turut bimbang kerana barisan pertahanan dilanda masalah kecederaan," ujarnya.

Kebimbangan Cheng Hoe menjurus kepada barisan pertahanan negara yang perlu lebih mengenal pasti kekuatan pihak lawan, ditambah dengan aksi menentang Sri Lanka yang menyaksikan Malaysia terlebih dahulu ketinggalan dalam babak pertama.

Aksi persahabatan dengan Kyrgyzstan selepas dianggap ujian sebenar skuad Harimau Malaya berdasarkan kepada kualiti pihak lawan yang berada di ranking ke-91 dunia.

"Permainan Kyrgyzstan lebih bagus daripada Malaysia.

"Mereka mempunyai kekuatan fizikal dan teknikal, ia satu ujian yang menarik untuk pasukan negara," katanya.