Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe, akan mengabaikan kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sepanjang September depan demi memberi laluan kepada Liga Malaysia (Liga-M) untuk bersambung.

Skuad negara berdepan masa yang suntuk untuk mempersiapkan pasukan bagi berdepan kejohanan antarabangsa, namun demi mendapatkan aksi kompetitif buat pemainnya, Cheng Hoe akur dengan keputusan itu.

"Mana-mana jurulatih pasti ada kerisauan mengenai prestasi pasukan kebangsaan tetapi disebabkan situasi Covid-19 ketika ini, kita perlu akur.

"Tetapi saya harap jika liga dapat bersambung semula, pemain akan mendapatkan semula rentak permainan.

"Walaupun FIFA sudah membenarkan aksi persahabatan (pada September depan), saya rasa FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) mungkin akan menggunakan kalendar tersebut bagi saingan Liga Malaysia," katanya.

Sementara itu, tonggak tengah skuad negara, Brendan Gan, tidak melihat sebarang kelebihan buat Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia/Piala Asia Oktober depan.

"Saya tidak fikir mereka memiliki kelebihan, saya fikir jika kami lebih memahukan kemenangan sebagai satu pasukan, kami dapat menunjukkan corak permainan terbaik pada hari perlawanan.

"Ia tentang kerja keras. Anda boleh menjadi pemain bola sepak yang hebat, mereka boleh memiliki pemain bola sepak yang hebat tetapi pada akhirnya, jika saya berusaha dengan lebih keras, saya memiliki peluang yang lebih besar untuk menang," katanya.

Pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh, menguatkan lagi keyakinan Brendan dengan berkata keterujaan untuk kembali ke padang dengan memakai jersi negara adalah sesuatu yang amat istimewa.

"Ia pasti menjadi suasana yang hebat. Semua pemain mahu kembali beraksi dan semua pemain mahu diturunkan.

"Jadi, apabila kami kembali menyertai kem latihan, semua pemain mahu beraksi memandangkan sudah lama kami tidak dapat melakukannya," katanya.