WEST HAM 2 CHELSEA 1

Antonio Conte percaya pasukan kendaliannya, Chelsea, tidak bernasib baik dengan penyingkiran mereka dalam Piala Liga Inggeris (EFL) kepada West Ham.


The Hammers mendahului 2-0 di Stadium London menerusi gol Cheikhou Kouyate dan Edimilson Fernandes, sebelum Gary Gahill menjaringkan gol sagu hati dalam sentuhan terakhir perlawanan.

The Blues terlepas beberapa peluang menarik, termasuk percubaan Eden Hazard yang sekadar mengenai palang gol, untuk Conte dikecewakan di peringkat 16 terakhir.

"Kami sedar perlawanan seperti ini adalah sangat sukar tapi kami telah bermain dengan penuh kesungguhan dan mencipta banyak peluang," kata pengurus berbangsa Itali itu.

"Saya melihat semangat yang baik dalam kalangan pemain. Mereka berjuang sehingga tamat perlawanan untuk mengubah kedudukan itu dan kami mempunyai deretan peluang untuk menjaringkan gol.

"Kami tidak menjangkakan gol kedua mereka hadir dengan pantas. Ia menjejaskan perancangan kami dan kami cuba mengubah situasi itu dengan pemain gantian, namun hanya mampu menjaringkan gol di penghujung permainan. Kami agak kurang bernasib baik dalam aspek ini."

Conte memberikan penampilan pertama kepada Nathaniel Chalobah serta Ola Aina, dan beliau sekurang-kurangnya dapat melihat kekalahan itu dari sudut positif selepas mereka meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Manchester United dalam saingan liga.

"Pertandingan ini sangat penting untuk kami menilai perkembangan bakat muda," tambahnya. "Kami memiliki pemain muda yang bagus dan mereka perlu beraksi.

"Mereka beraksi dengan baik dengan kesungguhan dan tumpuan yang betul. Saya melihat perkara positif.

"Selalunya, anda akan lebih banyak belajar daripada kekalahan berbanding kemenangan. Saya optimis kerana saya nampak semangat yang betul, ia sangat mustahak."

Skuad bimbingan Conte akan berdepan Southampton pada hujung minggu ini selepas mencatatkan tiga kemenangan dalam saingan utama dengan menjaringkan 10 gol tanpa dibolosi.