CHELSEA 2 LILLE 1

Chelsea mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Lille 2-1 di Stamford Bridge awal pagi tadi.


Tammy Abraham dan Cesar Azpilicueta menjaringkan gol dalam babak pertama untuk skuad kendalian Frank Lampard itu bangkit selepas tewas kepada Everton hujung minggu lalu bagi menduduki tempat kedua Kumpulan H.

Pasukan tuan rumah itu menyedari hanya tiga mata akan menjamin kemaraan mereka ke pusingan 16 dan mempamerkan keampuhan di benteng pertahanan sebelum bekas penyerang Chelsea, Loic Remy, menjaringkan gol sagu hati buat lawan dari Perancis itu pada minit ke-78.

Kemenangan Valencia ke atas Ajax di Amsterdam menafikan hasrat Chelsea untuk menduduki puncak kumpulan itu tetapi Lampard boleh berpuas hati apabila menjadi warga England pertama membimbing pasukannya melepasi peringkat kumpulan sejak bapa saudaranya, Harry Redknapp, melakukannya bersama Tottenham Hotspur dalam musim 2010-11.

Chelsea hampir menghasilkan tiga gol dengan Christian Pulisic dan Emerson Palmieri memberikan ancaman sebelum Abraham menjaringkan gol keduanya di peringkat Eropah pada minit ke-19.

Willian melepasi kawalan pertahanan kiri Lille, Jeremy Pied, dan melorongkan bola untuk ditolak masuk penyerang berkenaan.

Emerson turut menguji penjaga gol, Mike Maignan, sebelum melintangkan hantaran daripada sepakan penjuru untuk ditanduk Azpilicueta pada 10 minit terakhir babak pertama.

Maignan terpaksa menerima rawatan susulan pelanggaran dengan Kurt Zouma tetapi prestasi cemerlangnya berterusan apabila melakukan aksi menyelamat berganda bagi menggagalkan percubaan Pulisic dan Willian.

Penjaga gol berusia 24 tahun itu terpaksa dikeluarkan dengan bungksan ais di lututnya pada minit ke-72.

Leo Jardim masuk menggantikan Maignan dan menyelamatkan percubaan Mateo Kovacic sebelum Remy merapatkan jurang selepas menerima bantuan daripada pemain gantian, Jonathan Bamba.

Bagaimanapun, ia tidak memberikan kesan buat Chelsea, yang kental bertahan untuk meraih kemenangan pertama di laman sendiri daripada enam perlawanan peringkat kumpulan.