Chelsea tidak sabar untuk membalas dendam terhadap Tottenham Hotspur susulan kekalahan dalam aksi Liga Perdana Inggeris bulan lalu, kata Gianfranco Zola.

Kedua-dua kelab itu bakal bertemu bagi saingan separuh akhir Piala Liga, Januari ini,selepas masing-masing melepasi halangan suku akhir awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Eden Hazard memberikan The Blues kemenangan getir 1-0 ke atas Bournemouth sambil Spurs mara ke kelompok empat terbaik setelah mengatasi Arsenal 2-0 di Emirates.

Spurs menamatkan rekod tanpa kalah Maurizio Sarri di pentas bola sepak Inggeris, November lalu, apabila meraih kemenangan 3-1 di Wembley dan pembantu Sarri, Zola, mendedahkan kekalahan itu membawa kepada kekecewaan yang besar.

"Kami gembira kerana telah diajar erti bola sepak sebelum ini dan kini tidak sabar untuk mencabar mereka sekali lagi," kata Zola.

"Saya pasti ia bakal menjadi aksi berbeza. Terdapat ramai pemain yang mahu beraksi dalam perlawanan itu nanti dan membuktikan kewibawaan kami.

"Terlalu ramai juga pemain yang kecewa. Kami teruja bakal berdepan Spurs dan tidak sabar."

Jaringan Hazard pada minit ke-84 awal pagi tadi menamatkan cabaran getir Bournemouth di Stamford Bridge tatkala bintang Belgium itu mencatat jaringan peribadi yang ke-99 dalam semua kejohanan buat The Blues.

Zola berharap pemain berusia 27 tahun itu akan menolak sebarang tawaran dan terus mengukuhkan reputasi di Chelsea.

"Dia sudah tentu salah seorang pemain yang memberikan nikmat kepuasan buat kelab," tambah Zola.

"Memandangkan dia berusia 27 tahun, jika kekal, dia pasti mampu berkembang lebih baik. Saya berharap dia mencapai perkara hebat bersama kami di masa akan datang."