Antonio Conte percaya Chelsea telah menemui semula motivasi yang hilang sejak tewas kepada Roma dalam Liga Juara-Juara Eropah, bulan lalu.

Skuad The Blues tewas 3-0 di Stadio Olimpico tetapi berpeluang menamatkan kedudukan di tangga kedua Kumpulan C jika meraih tiga mata di Qarabag, Khamis ini.

Mereka mencari prestasi yang lebih baik di peringkat Eropah berikutan kemenangan mengagumkan ke atas Manchester United dan West Brom dalam Liga Perdana Inggeris.

Dan Conte yakin juara Liga Perdana Inggeris itu sudah berubah selepas mempamerkan aksi 'acuh tak acuh' pada awal musim ini.

"Pemain dan pasukan ini sentiasa menunjukkan keinginan yang besar, keinginan untuk bertarung dalam setiap perlawanan," kata Conte kepada wartawan.

"Menentang Roma, kami tidak menunjukkannya. Saya selalu meletakkan diri saya di hadapan pemain untuk mengambil tanggungjawab.

"Bagi saya, kami tidak sepatutnya menamatkan babak pertama 2-0 tetapi dalam babak kedua, ia adalah negatif kerana kami tidak menunjukkan hasrat untuk mengubah keputusan, cuba untuk seri atau menang. Setiap musim ada permainan seperti itu.

"Kami mempunyai banyak masalah pada awal musim dan kami juga cuba mengubah sesuatu dalam aspek taktikal untuk mencari penyelesaian yang berbeza.

"Apabila anda melepaskan banyak gol, ia bermakna anda perlu mencari keseimbangan dan pengukuhan. Saya berharap pasukan akan terus bertambah baik," katanya.

Conte mengekalkan pendiriannya bahawa keputusan menggugurkan David Luiz adalah semata-mata "taktikal" dan sebahagiannya disebabkan prestasi semasa Andreas Christensen.

"Setiap perlawanan, saya perlu membuat keputusan terbaik untuk pasukan dan jika saya mengambil keputusan ini, ia bermakna Christensen layak bermain," katanya.

"Saya fikir Christensen bermain dengan baik tetapi kami perlu banyak bermain dan perlu bermain setiap tiga hari.

"Kami memerlukan semua pemain dan mempunyai penyelesaian yang berbeza. Musim lalu (pertahanan tengah) saya tidak mempunyai pilihan ini."