ROMA 3 CHELSEA 0

Antonio Conte berasakan Roma lebih menunjukkan keinginan apabila mereka menumpaskan Chelsea 3-0 dan dia menggesa juara Liga Perdana Inggeris itu agar kembali bersatu untuk pertembungan dengan Manchester United, Isnin ini.


Chelsea menyerahkan tempat teratas dalam Kumpulan C, Liga Juara-Juara selepas skuad Eusebio Di Francesco itu mengganas di Stadium Olimpico, dengan Diego Perotti melakukan jaringan menarik selepas Stephan El Shaarawy menyumbang dua gol pada separuh masa pertama.

Ketua jurulatih, Conte, enggan menjawab soalan tentang masa depannya sejak beberapa minggu ini dan mengakui skuadnya gagal ketika berdepan Roma.

"Apabila bolos tiga gol, anda mesti bimbang kerana ia bermakna ada sesuatu yang tidak berfungsi," katanya kepada BT Sport.

"Ia amat sukar sekarang untuk beritahu tetapi kami harus menganalisis perlawanan ini. Saya fikir kami perlu bekerja pada aspek taktikal.

"Pasti, dalam musim ini, kami kurang bekerja dalam aspek ini dan kami telah membayar harganya.

"Saya fikir kami perlu melihat diri sendiri, prestasi kami dan memahami bahawa hari ini adalah hari yang buruk bagi kami. Kami mesti bekerjasama," katanya.

El Shaarawy menjaringkan gol pembukaan menarik selepas hanya 39 saat perlawanan bermula dan bekas pemain AC Milan itu menggandakan kelebihan akibat kesilapan daripada bekas pemain Roma, Antonio Rudiger.

Di antara dua gol tersebut, Chelsea menikmati tempoh terbaik dalam perlawanan itu tetapi tenggelam selepas rehat dan mujur tidak dihukum dengan lebih banyak gol.

"Saya benar-benar percaya kami bermain baik dalam babak pertama tetapi ketinggalan 2-0," kata Conte dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

"Kami boleh menjaringkan gol selepas 30 saat tetapi kemudian menderita ketika rehat. Kami mencipta banyak peluang, tidak klinikal dan tidak cukup tajam, kemudian dihukum dengan satu rembatan tepat.

"Apa yang paling saya kecewa adalah prestasi pada babak kedua ketika Roma semakin dahaga, lebih banyak keinginan, lebih berjuang untuk mengalahkan kami dan jelas mereka berhak menang.

"Kami kekurangan segala-galanya pada babak kedua dan Roma adalah pasukan yang lebih baik dalam setiap aspek, daripada segi motivasi dan keinginan."

Tambahnya: "Sudah pasti kami akan cuba mencari kekuatan dan menggunakan kekalahan ini bagi membetulkan prestasi kami. Ia kerana, seperti yang saya katakan sebelum ini, musim ini kami perlu bekerja lebih keras.

“Jika kami tidak bersedia untuk berusaha, kami akan memiliki keputusan seperti ini.”