Chapecoense ditabalkan sebagai juara Copa Sudamericana oleh badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL.

Pemangku presiden kelab itu, Ivan Tozzo, mengesahkan keputusan itu dibuat selepas mendapat permintaan daripada lawan yang sepatutnya mereka hadapi dalam perlawanan akhir, Atletico Nacional, yang telah memohon kejuaraan itu dihadiahkan kepada Chapecoense.

Pesawat yang menerbangkan skuad Chapecoense untuk perlawanan akhir pertama itu terhempas ketika dalam penerbangan menuju ke Medellin, Colombia, dua hari sebelum perlawanan dilangsungkan yang mengorbankan 71 mangsa yang terdiri daripada anggota pasukan Brazil itu dan wartawan.

Sehubungan itu, Atletico menerima anugerah fair play kerana pendirian mereka itu.

"Majlis Jawatankuasa CONMEBOL memutuskan untuk mengumumkan Chapecoense selaku juara Copa Sudamericana edisi 2016, serta mengurniakan Atletico Nacional anugerah pencapaian 'Fair Play CONMEBOL Abad Ini'," menurut kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu.

"Chapecoense turut menerima hak keistimewaan dalam sukan dan ekonomi."

Keputusan untuk mengurniakan Atletico anugerah itu, termasuk hadiah wang tunai USD1 juta (RM4.44j), hadir bagi mengenangkan tindakan mereka dalam 'mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan bola sepak Amerika Selatan, kefahaman dan fair play dalam mengejar nilai kesukanan yang lazimnya menarik minat dalam komersial."

Perlawanan bola sepak di seluruh dunia turut berduka dengan kejadian itu apabila mengambil langkah bertafakur bagi mengenang mangsa yang terkorban dalam tragedi itu.

Satu majlis penghormatan telah diadakan di kelab itu, Arena Conda, pada hujung minggu lalu yang turut dihadiri ketua CONMEBOL, Alejandro Dominguez, jurulatih Brazil, Tite, Presiden Brazil, Michel Temer, serta Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino.

Minggu lalu, kelab-kelab Brasileirao mengutarakan cadangan agar Chapecoense diberi pengecualian tidak tergelincir ke divisyen bawah selama tiga musim, selain menawarkan pemain pinjaman kepada kelab itu secara percuma.

Bekas pemain Barcelona dan penyerang Chelsea, Eidur Gudjohnsen, turut menawarkan khidmatnya jika kelab itu memerlukannya, sementara legenda Brazil, Ronaldinho, dan bekas perancang tengah Argentina, Juan Roman Riquelme, turut dikaitkan.