Presiden kelab Chapecoense, Ivan Tozzo, berkata pasukannya telah diminta meneruskan aksi Brasileiro sebagai penghormatan terhadap pemain dan pegawai yang telah terkorban dalam nahas kapal terbang sebelum aksi final Copa Sudamericana.

Penerbangan tersebut -- yang membawa 19 pemain skuad utama dan beberapa wartawan -- terhempas di Cerro Gordo, Colombia, kelmarin yang mengorbankan 71 daripada 77 penumpang yang berada di atas pesawat tersebut.

Chapecoense berada di Colombia bagi menghadapi Atletico Nacional dalam aksi final pertama.

Bagaimanapun, Atletico telah meminta agar Chapecoense dinobat juara oleh CONMEBOL.

Tozzo, yang sebelum ini memegang jawatan selaku naib presiden, telah dilantik sebagai presiden kelab itu.

Dia mendedahkan pada Rabu bahawa Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) telah meminta pasukannya mempersiapkan pasukan bagi menghadapai Altetico Mineiro pada 11 Disember ini.

"Saya telah bercakap dengan presiden CBF, Marco Polo del Nero, dan dia memberitahu saya bahawa mereka telah merancang acara besar-besaran dalam aksi berdepan Atletico Mineiro.

"Namun, saya memberitahunya bahawa kami tidak memiliki 11 pemain untuk beraksi.

"Dia memberitahu saya: 'Kamu memiliki skuad B-20 tahun. Turunkan mereka yang sudah pulih daripada kecederaan dan selebihnya turunkan pemain muda.

"Keputusan di akhir perlawanan tidak penting. Chapeco layak diberi penghormatan tertinggi."'

Susulan kehilangan skuad utama, beberapa kelab di Brazil telah menawarkan untuk meminjamkan pemain mereka secara percuma bagi membantu Chapecoense mengharungi musim ini.

Sementara itu, Chapecoense mendedahkan tiga pemain yang terselamat sedang menjalani proses rawatan.

Kaki penjaga gol, Jackson Follmann, telah dipotong, dengan doktor yang merawatnya sedang dalam perbincangan untuk memotong kedua-dua kakinya.

Neto disahkan dalam keadaan stabil manakala Alan Ruschel mampu menggerakkan tubuhnya selepas melalui pembedahan tulang belakang.