Ketua Pegawai Eksekutif Borussia Dotmund, Hans-Joachim Watzke, mengesahkan bahawa pemenang sembilan pingat emas Olimpik, Usain Bolt, akan menyertai kelab itu dalam masa akan datang.

Bolt mengejutkan ramai pihak apabila memberitahu The Guardian bahawa dia berniat untuk bertukar karier daripada olahraga ke bola sepak.

Watzke kini mengesahkan bahawa atlet berusia 30 tahun itu akan menyertai gergasi Jerman itu meskipun peluang untuk menandatangani kontrak secara kekal agak tipis.

"Ini bukan satu gurauan, dia akan berlatih dengan kami pada masa akan datang," Watzke memberitahu Kicker.

"Keputusan ini sudah pun dibuat sebelum ini. Ketua Eksekutif PUMA, Bjorn Gulden, yang juga merupakan ahli lembaga pengarah kami, memberitahu saya bahawa Usain telah meminta jika dia dapat berlatih bersama kami pada suatu ketika nanti.

"Saya terus berkata itu bukan satu masalah dan pengendali, Thomas Tuchel, juga menerima baik cadangan itu.

"Sudah pasti ia tidak akan berlaku sekarang tatkala kami menghadapi dua perlawanan dalam seminggu. Pasukan kami juga akan menerima baik kedatangan Usain.

"Kita tidak perlu bercakap tentang kemungkinan menawarkan kontrak secara profesional. Keinginannya untuk berlatih bersama kami sudah cukup membuatkan kami rasa berbesar hati."