Pasukan yang sedang bergelut dalam LaLiga, Celta Vigo, memecat pengurusnya, Fran Escriba, selepas tewas kepada Getafe.

Celta tewas 0-1 kepada Getafe di laman sendiri awal pagi semalam, yang merupakan kekalahan keempat berturut-turut mereka musim ini.

Keputusan itu meletakkan mereka dalam zon penyingkiran dan ketinggalan dua mata daripada zon selamat selepas 12 perlawanan.

"Fran Escriba tidak akan meneruskan tugasnya di Celta," kata pasukan itu dalam satu kenyataan.

"Kelab ini mahu berterima kasih kepadanya dan barisan kejurulatihannya di atas usaha dan komitmennya dan kami mendoakan yang terbaik buat masa depannya."

Escriba, yang pernah mengendalikan Elche, Getafe dan Villarreal, dilantik Celta pada Mac lalu untuk menjadi pengurus ketiga mereka sepanjang musim 2018-19.

Jurulatih berusia 54 tahun itu turut membantu Celta keluar daripada zon penyingkiran musim lalu, namun hanya memenangi dua perlawanan musim ini.