Pengendali Arsenal, Unai Emery, berkata Dani Ceballos mengalami kecederaan kecil melibatkan paha selepas keputusan seri 1-1 dengan Vitoria SC dalam saingan Liga Europa, awal pagi tadi.

Pemain tengah itu terpaksa dibawa keluar di awal babak kedua dalam aksi yang berkesudahan 1-1 itu dan digantikan oleh Matteo Guendouzi pada minit ke-54.

Pemain yang dipinjam daripada Real Madrid itu tampak bakal terlepas kunjungan ke Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini walaupun Emery berkata dia akan menjalani pemeriksaan lanjut.

"Kami akan menunggu sehingga esok tetapi di peringkat awal, saya fikir ia hanya kecederaan kecil," katanya.

Arsenal berada di landasan kemenangan untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya apabila Shkodran Mustafi menanduk masuk bola hasil sepakan percuma Nicolas Pepe pada minit ke-80.

Namun, Bruno Duarte menyamakan kedudukan dalam waktu kecederaan dan The Gunners hampir dipalit kekalahan pada saat-saat akhir tatkala Mustafi tertampan bola hantaran lintang ke gawang dan Rochinha melepaskan sepakan voli yang tersasar.

Emery gembira dengan usaha pemainnya dalam hujan itu walaupun tandukan Mustafi menjadi satu-satunya percubaan tepat daripada Arsenal.

"Pemain bekerja keras dan mencuba. Kami hampir mencatat kemenangan. Di penghujung perlawanan, mereka memberi tekanan dan hampir menjaringkan gol," tambahnya.

"Objektif utama adalah berada dalam satu kumpulan dan kami berjaya melakukannya. Di penghujung perlawanan, kami memikirkan tentang aksi menentang Leicester, Sabtu ini.

"Kami cuba untuk menghasilkan gol tetapi mereka adalah pasukan yang benar-benar bersaing. Kami lebih bagus ketika bertahan.

"Secara menyerang, lawan lebih tersusun dan tidak mudah untuk memiliki banyak peluang. Ia tidak bagus kerana kami mahu menang tetapi kami kini di tangga pertama dan ini adalah sasaran kami."