Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Edinson Cavani, tidak meletakkan fokus untuk meraih status legenda selepas melepasi angka 100 jaringan buat pasukannya.

Penyerang Uruguay itu menyinar sejak Zlatan Ibrahimovic meninggalkan PSG, apabila mengungguli senarai penjaring terbanyak dengan 35 gol pada musim lalu.

Dia dijangka sekali lagi meraih jumlah yang sama selepas menjaringkan dua gol ketika membantu skuad kendalian Unai Emery itu menundukkan Angers 5-0 semalam.

Dua jaringan tersebut membolehkannya berkongsi tangga teratas senarai penjaring dengan 13 gol bersama penyerang Monaco, Radamel Falcao, namun dia menjelaskan dirinya lebih memikirkan tentang kejayaan pasukan.

"Saya cuba memberikan segala-galanya kepada pasukan. Ia adalah bola sepak sebenar. Sekarang kami di sini, tetapi tiada siapa tahu pada masa akan datang.

"Jika segala-galanya berjalan dengan baik, saya berasa gembira untuk diri sendiri, untuk pasukan serta untuk penyokong.

"Saya tidak bermain untuk menjadi legenda tetapi untuk mendapatkan kejayaan dan atas sebab minat sebagai pemain bola sepak," kata Cavani.

PSG menentang Angers tanpa kelibat bintang utama, Neymar, tetapi kemampuan Kylian Mbappe yang turut menjaringkan dua gol membolehkan Emery tidak risau dengan situasi tersebut.

"Apa yang penting, barisan serangan kami berpeluang menjaringkan gol.

"Kedua-dua Mbappe dan Cavani mencatat jaringan, membuktikan kualiti jentera depan kami semakin bagus. Ia juga satu perkembangan baik buat bahagian tengah yang bertindak menyalurkan bola kepada penyerang," ujar Emery.