Paris Saint-Germain (PSG) memutuskan untuk melepaskan ketua pasukan, Thiago Silva, dan penjaring gol sepanjang zaman, Edinson Cavani, seperti yang diumumkan Pengarah Sukan (PSG), Leonardo.

Sungguhpun kempen Ligue 1 ditamatkan April lalu, namun PSG berharap kedua-dua pemain akan kekal bagi menghadapi baki cabaran mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Menurut Le Journal du Dimanche, Leonardo percaya sudah tiba waktunya untuk berpisah dengan kedua-dua pemain berpengalaman itu yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan PSG baru-baru ini.

Silva, 36, tiba di Paris selepas dipancing daripada Milan pada 2012 dan sejak itu dia memainkan peranan besar di bahagian pertahanan PSG sementara penyerang, Cavani, 33, yang ditandatangani daripada Napoli pada 2013 telah menyumbangkan 200 gol.




Laporan akhbar Sunday memetik Leonardo mengatakan bahawa tempoh mereka di kelab itu "akan berakhir", dengan kedua-dua pemain berhak berpindah secara percuma memandangkan kontrak mereka akan berakhir.

"Ia keputusan yang sangat sukar untuk dibuat," katanya.

"Mereka merupakan tonggak yang memberi impak dalam sejarah kelab ini: kami sering tertanya-tanya sama ada kami harus meneruskan perjalanan ini bersama mereka atau tidak.

"Ia sebuah kisah yang begitu indah tetapi kami akan sampai ke penghujungnya. Kami harus membuat keputusan yang logik, bahkan daripada segi ekonomi atau berkaitan dengan generasi yang akan datang.

"Mungkin kami boleh tersilap langkah, saya tidak tahu; tidak pernah ada waktu yang tepat.

"UCL masih menjadi sasaran kami dan ideanya adalah untuk terus berjuang hingga akhir Ogos depan.Tetapi cara yang akan kami ketengahkan tidak jelas."

Pertahanan Brazil berusia 36 tahun itu sementara penyerang Uruguay berkenaan akan berusia 34 tahun Februari tahun depan.