MARSEILLE 2 PSG 2

Edinson Cavani memberikan kesan besar apabila percubaan terakhirnya menghadiahkan gol penyamaan penting 2-2 buat Paris Saint-Germain (PSG) di Marseille, awal pagi tadi.


PSG dua kali ketinggalan dan menyaksikan Neymar dibuang padang sebelum Cavani memastikan satu mata menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan dalam aksi Le Classique.

Selepas perlawanan sengit di Stade Velodrome itu, Cavani menggesa pasukannya agar terus bekerja keras dan memperbaiki prestasi bagi mendapatkan kembali gelaran Ligue 1, yang mereka kalah kepada Monaco musim lalu.

"Ia satu gol penting kerana perlawanan itu hampir tamat," katanya kepada Canal+. "Ia sukar untuk bermain, ia suasana yang baik.

"Ini adalah satu mata penting tetapi kami mesti terus memperbaiki dan bekerja keras," tambahnya.

Walaupun emosi pelawat sangat gembira, penjaga gawang Marseille, Steve Mandanda, tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan jaringan lewat tersebut.

"Kami fikir kami boleh memenangi perlawanan ini, kami melakukan perkara yang betul dari awal hingga akhir," katanya.

"Kami bekerja keras, kami berusaha bersama dan kami kekal mantap. Sepakan percuma kejam pada minit terakhir itu agak mengecewakan kami.

"Jika kami ditawarkan keputusan ini sebelum perlawanan, kami akan menerimanya segera tetapi berdasarkan corak pemainan ditunjukkan, ia membuatkan kami kecewa," katanya lagi.

Rakan sepasukan, Adil Rami, menambah: "Sekurang-kurangnya kami telah membuktikan bahawa jika kami bermain dengan mentaliti seperti ini, kami boleh berada di puncak liga."