Kylian Mbappe yakin bahawa gandingan serangan Paris Saint-Germain (PSG) bakal terus menggegar dalam babak kedua musim 2017/18.

Mbappe kini telah menghasilkan lapan go, sementara Neymar mencatat 11 dan Edinson Cavani menyumbat 19 jaringan untuk membolehkan mereka selesa dengan kelebihan 11 mata di puncak liga.

Walaupun hubungan Neymar dan Cavani sebelum ini dilaporkan tegang selepas isu pengambil sepakan penalti, Mbappe nyata berada dalam kelas tersendiri sejak dipinjamkan dari Monaco dan pemain Perancis itu yakin masih banyak yang perlu dibuktikan dalam tahun 2018.

"Anda sentiasa mensasarkan sesuatu yang lebih tinggi. Anda tidak boleh menetapkan sebarang had kepada diri sendiri, jadi kami akan terus berkembang dan meningkat," kata Mbappe.

"Saya sentiasa mahukan yang lebih baik dan sama ada berada pada tahap yang bagus atau tidak, saya tetap mahu terus meningkat.

"Permainan saya perlu disesuaikan dengan PSG kerana ia melibatkan satu sistem dengan satu lagi corak yang jauh berbeza. Di Monaco, kami menerapkan proses serangan balas tetapi di PSG, setiap pemain perlu lebih kreatif dalam mengatur pergerakan.

"Saya yakin gandingan bersama Cavani dan Neymar menjadi dengan baik, sama juga dengan Dani Alves serta Marco Verratti. Ia menjanjikan sesuatu yang hebat di masa akan datang," ujarnya.