Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery, percaya Edinson Cavani mampu mengatasi rekod Zlatan Ibrahimovic selaku penjaring terbanyak pasukan itu.

Cavani telah merekodkan gol ke-100 buat PSG dalam kemenangan 2-0 ke atas Angers pada Rabu, sekaligus meletakkan dirinya di belakang Pauleta (109) dan Ibrahimovic (156).

Ini bermakna dia memerlukan 56 gol untuk menyamai rekod Ibrahimovic, namun ia sesuatu yang mampu dilakukan penyerang Uruguay itu.

"Saya mahu Cavani memecahkan rekod Ibrahimovic, saya pasti penyokong juga mengharapkan perkara yang sama," katanya.

"Dia sangat yakin dan gembira ketika ini.

"Dia masih berusaha untuk memperbaiki permainannya. Dia mahu lebih berbisa di hadapan gawang lawan.

"Jika dia mampu mengatasi rekod Ibrahimovic, itu berpunca daripada kerajinannya ketika sesi latihan."

Pemain berusia 29 tahun itu dijangka meneruskan prestasi terbaiknya apabila PSG bertandang ke Montpellier pada Sabtu.