Kapten Paris-Saint Germain (PSG), Thiago Silva, memuji aksi hebat Edinson Cavani selepas penyerang Uruguay itu meledak dua gol ketika membantu pasukan menundukkan Nice 3-0, awal pagi tadi.

Cavani mencatat dua jaringan dalam babak pertama buat PSG yang beraksi tanpa kelibat Neymar di Parc des Princes, sekaligus meneruskan rentetan jaringan selepas menyumbat gol penyamaan pada minit akhir ketika menentang Marseille, minggu lalu.

Aksi memukaunya itu menarik perhatian ramai akan kepentingannya bersama skuad kendalian Unai Emery itu dan ia diakui oleh Silva.

"Cavani perlu sentiasa ada bersama kami, dia menghasilkan pelbagai usaha.

"Dia menjaringkan dua gol penting, terutama dalam babak pertama, sehingga mengubah tempo permainan dan sangat membantu pasukan.

"Saya rasa pemain sepertinya perlu terus dengan aksi begitu kerana ia membantu semua pemain," ujar Silva.

"Saingan liga pada musim ini sangat sukar. Kami terpaksa berjuang sehingga minit akhir untuk mengikat Marseille tetapi meraih gol awal menentang Nice dan kami sangat gembira dengan tiga mata yang diraih," ujarnya.

Selain Cavani, turut dihamburkan pujian oleh pertahanan Brazil itu adalah pengganti Neymar, Angel di Maria, selepas bintang Argentina itu menghasilkan dua bantuan jaringan.

"Kami berhak menang pada hari ini dan prestasi ini harus diteruskan. Neymar tidak beraksi tetapi Di Maria berjaya menjalankan tanggungjawab dengan berkesan dan dia turun dengan aksi cemerlang," tambah Silva.

Jaringan pertama Cavani ketika menentang Nice merupakan gol ke-2,500 buat PSG dalam saingan Ligue 1 sepanjang zaman.