Catalonia harus barisi kelompok 10 pasukan terbaik dunia -- Xavi

Oleh Staff Writer 29 Disember 2016 7
Catalonia harus barisi kelompok 10 pasukan terbaik dunia -- Xavi

Bekas pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez, berpendapat pasukan Catalonia akan membarisi kelompok 10 pasukan terbaik dunia sekiranya pasukan itu dibenarkan bertanding dalam kejohanan antarabangsa FIFA.

Daerah di timur laut Sepanyol itu bakal mengemukakan referendum kemerdekaan September depan -- tidak kira sama ada pungutan suara itu akan diterima kerajaan Sepanyol atau tidak -- sekaligus bakal mengesahkan daerah itu sebagai anggota baru FIFA.

Xavi percaya sekiranya senario itu berlaku, Catalonia sudah bersedia untuk memberi impak di pentas bola sepak antarabangsa.

Bintang Barcelona, Gerard Pique, Jordi Alba dan Sergio Busquets terlepas aksi 3-3 berdepan Tunisia di Girona pada Rabu, namun rakan sepasukan lain seperti Jordi Masip dan Sergi Roberto sempat membuat penampilan menyarung jersi Catalonia.

"Skuad kebangsaan Catalan akan muncul selaku 10 pasukan terbaik dunia," Xavi memberitahu media.

"Skuad ini mencerminkan tahap sebenar kualiti pemain bola sepak yang dilahirkan di Catalonia."

Pemain berusia 36 tahun itu telah membuat 12 penampilan selaku pemain Catalonia dan tidak menafikan hasratnya untuk mengendalikan pasukan itu satu hari nanti.

Xavi menambah: "Kita tidak tahu. Peluang itu mungkin tiba. Terlalu awal untuk membuat sebarang andaian tetapi itu antara idea saya untuk kembali selaku jurulatih di Catalonia. Itu rumah saya, saya sangat selesa di sana.

"Saya sangat gembira setiap kali pulang dan kerana itulah, saya berbangga jika dapat bermain bersama skuad kebangsaan (Catalonia).

"Berdepan Tunisia, mereka menampilkan pasukan yang hebat.

"Kami bermain dengan corak kami tersendiri, sering kali membuat serangan dan mempamerkan aksi menghiburkan. Itu adalah identiti kami, sepertimana yang kami pelajari daripada guru seperti Johan Cruyff dan Pep Guardiola."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen