Bekas pemain kebangsaan Itali, Antonio Cassano, mengumumkan persaraannya daripada bola sepak selepas seminggu dikaitkan dengan kelab Serie C, Virtus Entella.

Bekas penyerang AC Milan, Inter dan Real Madrid itu tanpa sebarang kelab sejak menjalani latihan pra-musim bersama Verona pada Julai 2017 dan beraksi kali terakhir dalam perlawanan rasmi liga pada Mei 2016 untuk Sampdoria.

Cassano, yang tampil beraksi bersama Itali sebanyak 39 kali, bersetuju untuk berlatih bersama Entella tanpa menandatangani sebarang kontrak tetapi pemain berusia 36 tahun itu mendedahkan keputusannya untuk bersara.

"Selepas beberapa hari menjalani latihan, saya menyedari bahawa saya tidak lagi memiliki mentaliti untuk berlatih secara konsisten.

"Untuk tampil bermain bola sepak, anda memerlukan semangat dan bakat tetapi keazaman sangat penting dan ketika ini, saya memiliki keutamaan yang lain.

"Saya telah memasuki separuh masa kedua kehidupan saya. Saya ingin mencungkil sesuatu yang baru dan membantu diri saya tanpa bantuan kaki saya."