Kapten Sepanyol ketika memenangi Piala Dunia, Iker Casillas, mengumumkan penarikan diri daripada perebutan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), sambil menggesa perpaduan di sebalik pandemik koronavirus.

Legenda Real Madrid itu mengesahkan niatnya untuk merebut jawatan itu pada Februari lalu tetapi pengundurannya menyaksikan Luis Rubiales dijangka akan mempertahankan jawatan itu tanpa bertanding pada Ogos depan.

Casillas, yang membantu Sepanyol memenangi Euro 2008 dan 2012 selain Piala Dunia 2010, menjelaskan dalam satu ciapan Twitter bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan"keadaan sosial, ekonomi dan kesihatan luar biasa yang sedang menimpa negara itu".

"Ia menjadikan pemilihan ini perlu diketepikan. Saya fikir ia adalah masanya untuk bersatu dan bukannya berpecah," tambahnya.

Bekas penjaga gol Madrid itu, yang melakukan 167 penampilan bersama skuad senior negaranya, menegaskan keputusan untuk menarik diri itu tidak menandakan bahawa "pintu untuknya sudah tertutup pada masa akan datang" sambil berkata dia mungkin akan kembali merebut jawatan itu selepas ini.

"Saya mahukan proses pemilihan yang adil, telus dan benar-benar partisipatif, mencari yang terbaik untuk bola sepak Sepanyol.

"Saya harap dalam pemilihan yang akan datang, ia boleh berlaku buat saya atau buat calon lain," katanya.

Sepanyol antara negara yang paling terjejas dengan pandemik berkenaan dengan 290,000 kes positif Covid-19 dicatatkan termasuk 27,136 kematian.

Casillas memenangi lima gelaran LaLiga dan tiga kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah buat Madrid sebelum kembali menyertai Porto pada 2015.

Individu berusia 39 tahun itu menderita serangan jantung pada Mei 2019 sebelum menyertai pasukan pegawai kelab itu dengan Presiden Porto, Jorge Nuno Pinto da Costa, mengumumkan persaraan Casillas pada Februari lalu.