GALATASARAY 2 PORTO 3

Iker Casillas mengikuti jejak langkah Cristiano Ronaldo untuk melakar sejarah Liga Juara-Juara dengan meraikan kemenangannya yang ke-100 dalam pertandingan itu.


Casillas ditewaskan dua kali ketika Porto menamatkan kempen dalam Kumpulan D sebagai juara dengan kemenangan 3-2 ke atas Galatasaray di Istanbul, awal pagi tadi.

Ini bermakna penjaga gol veteran berkenaan muncul pemain kedua dalam sejarah UCL untuk memenangi 100 perlawanan, sekali gus menyertai bekas rakan sepasukan di Real Madrid, Ronaldo, untuk meraih tanda aras berkenaan.

Casillas, yang menyertai Porto pada 2015, memenangi kejuaraan UCL sebanyak tiga kali ketika mewakili Madrid.

Felipe menanduk masuk gol pertama Porto sebelum Moussa Marega melakar jaringan kelimanya dalam kempen UCL musim ini untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0 biarpun Feghouli cuba merapatkan kedudukan sebelum separuh masa pertama berakhir menerusi sepakan penalti yang diambilnya buat julung kalinya.

Begitupun, Porto kembali menggandakan kedudukan mereka melalui penyudah dari jarak dekat menerusi Sergio Oliveira sebelum jaringan Eren Derdiyok menyalakan semula harapan tuan rumah untuk kedudukan 2-3.

Namun, Galatasaray terlepas peluang untuk mengikat kedudukan selepas percubaan Feghouli dari jarak 12 meter menggegar palang.