ROSTOV 0 ATLETICO MADRID 1

Diego Simeone melontar pujian kepada pemain sayapnya, Yannick Ferreira Carrasco, apabila jaringan tunggal pemain itu menghadiahkan kemenangan 1-0 ke atas Rostov, namun memberi peringatan bahawa masih banyak yang perlu diperbaiki pemain antarabangsa Belgium itu.


Atletico mendominasi perlawanan di Russia, namun mensia-siakan beberapa peluang, terutama menerusi Angel Correa yang terlepas dua pelaung keemasan.

Carrasco kemudian menghadiahkan gol yang dinantikan Atletico pada minit ke-62 selepas menerima hantaran lambung Juanfran.

Ia merupakan gol keempat dalam tempoh dua perlawanan buat pemain berusia 23 tahun itu selepas meledak hatrik dalam kemenangan 7-1 ke atas Granada, Ahad lalu.

Namun, Simeone enggan fokus mendadak diberikan terhadap pemain itu.

"Carrasco beraksi dengan cemerlang," katanya kepada wartawan. "Saya gembira dengan prestasinya ketika ini dan saya berharap dia dapat meneruskan momentum sedia ada.

"Tetapi masih banyak aspek yang perlu dia perbaiki."

Simeone turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap prestasi keseluruhan pemain yang gagal mengesahkan kemenangan pada awal permainan.

"Kami sedar kemampuan mereka, kami jangkakan perlawanan yang sukar.

"Kami berpeluang untuk mengesahkan kemenangan lebih awal tetapi pemain saya tidak mempamerkan keazaman.

"Rostov bertahan dengan lapan pemain dan mereka menutup ruang dengan cukup baik.

"Bukan mudah untuk menembusi lawan yang bertahan dengan corak sebegitu. Kami perlu mengekalkan fokus dalam perlawanan seterusnya."

Kemenangan tersebut menyaksikan Atletico kini hanya perlu mengutip tiga mata berdepan Rostov di Vicente Calderon dalam aksi seterusnya bagi mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati.