Fabio Capello menuduh bintang Bayern Munich gagal menonjolkan kemampuan terbaik mereka di bawah Carlo Ancelotti, yang dipecat oleh gergasi Bundesliga itu pada September lalu.

Bayern meraih gelaran juara liga pada musim pertama di bawah bimbingan Ancelotti, namun jawatannya musnah dengan khabar angin mengatakan pemain utama Die Roten tidak berpuas dengan kaedahnya.

Permulaan yang tidak masuk akal dalam kempen musim ini memuncak apabila dibelasah Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara (UCL) sehingga membawa kepada penamatan bimbingan Ancelotti.

Jurulatih veteran, Jupp Heynckes, yang mengetuai Bayern meraih tiga kejuaraan pada musim 2013, kembali ke Allianz Arena untuk menggalas tanggungjawab itu sehingga akhir musim ini -- hanya tewas sekali dalam semua pertandingan di bawah pimpinannya.

Capello mencadangkan prestasi Bayern ketika ini bukanlah kebetulan dan percaya skuad Bayern tidak mahu bermain di bawah Ancelotti.

"Heynckes kembali di bangku simpanan dan semua orang tertanya-tanya bagaimana dia dapat mengendalikan pasukan dengan segera. Saya fikir pemain adalah punca segala-galanya," katanya kepada Sky Germany.

"Jurulatih boleh melakukan banyak perkara tetapi jika pemain tidak mahu memberikan sedikit usaha tambahan seperti ketika mereka tidak memberikannya kepada Ancelotti, anda tidak akan mendapatkan hasil yang baik.

"Pemain memeranginya (Ancelotti), mereka mahu dia keluar dan membuktikan bahawa Heynckes adalah individu yang tepat, mereka memberikan semuanya," tambahnya.

Bayern kini 11 mata di puncak Bundesliga pada pertengahan musim ini dan akan meneruskan kempen domestik mereka berdepan Bayer Leverkusen pada 12 Januari nanti.

Dalam perkembangan lain, Capello mengesahkan dia akan meninggalkan Jiangsu Suning pada penghujung tahun depan selepas 18 bulan pelantikannya.