Bekas pemain antarabangsa Itali, Fabio Cannavaro, berkata bekas kelabnya, Inter Milan, dan AC Milan memerlukan masa untuk mereka mampu mencabar mahkota Serie A.

Inter dan Milan berada di belakang pesaing, Juventus, yang mencari Scudetto ketujuh berturut-turut pada musim ini tetapi kedua-dua kelab itu berharap dapat kembali ke puncak bola sepak Itali.

Pemilik baru dari China meningkatkan keyakinan dalam kalangan penyokong Inter dan Milan, dengan skuad Nerazzurri kini menyamai 19 mata Juve tetapi Rossoneri berada di tangga ketujuh selepas bermula hambar pada musim ini.

Cannavaro menegaskan kesabaran diperlukan apabila kedua-dua pasukan itu berhajat untuk kembali ke puncak Serie A.

"Mereka mempunyai sumber kewangan dan mereka akan sentiasa berjuang untuk sasaran terbesar," kata ketua jurulatih Tianjin Quanjian, Cannavaro, kepada Premium Sport.

"Tetapi ia memerlukan masa supaya mereka dapat mengatur diri sendiri.

"Napoli, sebagai contoh, telah sampai ke peringkat mereka kini selepas 10-12 tahun."

Inter dan Milan akan bertembung selepas rehat antarabangsa di Stadium San Siro pada 16 Oktober ini.