Pemain tengah Jerman, Emre Can, menegaskan pasukannya perlu mengekang setiap pergerakan Alexis Sanchez jika mahu meraih kemenangan ketika bertemu Chile dalam saingan Piala Konfederasi.

Bintang Arsenal itu hanya beraksi dalam separuh masa kedua ketika Chile meraih kemenangan 2-0 ke atas Cameroon selepas bergelut dengan masalah buku lali.

Pemain berusia 28 tahun itu berkemungkinan besar akan kembali dalam kesebelasan utama pasukan dalam perlawanan di Kazan Arena dalam misi membantu juara Copa America itu melayakkan diri ke separuh akhir.

Walaupun menyedari bahawa Jerman tidak boleh terlalu memberikan perhatian kepada Sanchez, Can mahu memastikan setiap pergerakan bekas pemain Barcelona itu disekat.

"Saya pernah berdepan dengan Sanchez," katanya.

"Dia adalah seorang pemain yang berkualiti, antara yang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL). Kami harus berwaspada dengan setiap pergerakannya.

"Tetapi Jerman turut memiliki barisan pemain yang turut mampu memberikan ancaman kepada pasukan lawan. Kami harus memberikan yang terbaik dalam meraih tiga mata penuh.

"Chile merupakan antara pasukan yang mampu untuk melakar kemenangan di pentas tertinggi. Mereka merupakan antara negara yang semakin membangun dalam bola sepak."