Sven-Goran Eriksen mahukan lebih ramai jurulatih berkulit hitam di pentas tertinggi bola sepak dan melihat tiada sebab untuk bekas pertahanan England, Sol Campbell dan Ashley Cole, gagal berbuat demikian.

Tatkala fokus terarah kepada isu perkauman susulan kematian George Floyd, perhatian sekali lagi melibatkan penglibatan golongan kulit hitam dalam pengurusan bola sepak.

Minggu ini, penyerang Manchester City, Raheem Sterling, mendakwa tiada sebarang wakil daripada mereka dalam barisan kejurulatihan.

Dia mendakwa Campbell dan Cole tidak diberikan peluang sewajarnya selaku pengendali berbanding pengurus Chelsea, Frank Lampard, dan pengendali Rangers, Steven Gerrard.

Eriksen mengendalikan kedua-dua pemain itu sewaktu mengemudi skuad kebangsaan England dan berkata mereka sangat bijak untuk menjadi pengurus yang berjaya.

"Malangnya, saya perlu nyatakan tidak ramai pengurus berkulit hitam di dunia dan jika ditanya kenapa, saya tidak tahu tetapi itu satu fakta," katanya.

"Anda memiliki Clarence Seedorf yang berjaya di merata tempat. Mungkin anda memilikinya dari Amerika Selatan tetapi saya rasa ia patut lebih ramai.

"Campbell dan Cole adalah dua individu bijak. Mereka pemain bola sepak yang bagus dan pengetahuan dalam bola sepak harus diakui.

"Mereka tahu permainan ditampilkan dan orang yang bagus. Apabila bercakap, anda mendengar. Jadi, saya tidak lihat faktor untuk mereka gagal sebagai pengurus."

Eriksen juga melihat potensi sama dalam diri Lampard yang kini menyinar bersama Chelsea selepas dilantik pada tahun lalu susulan kempen cemerlang di Derby County.

"Saya fikir dia menjalankan tugas dengan baik musim lalu, jadi Chelsea telah mengambil tindakan bijak," tambahnya.

"Dia menjalan tugas dengan bagus dan datang daripada keluarga bola sepak. Dia dilahirkan dengan dunia bola sepak termasuk ayah, pakcik dan seluruh keluarganya. Jadi, saya tidak terkejut.

"Apabila mempunyainya dalam skuad England, anda boleh lihat dia sangat bijak, jadi tidak mengejutkan apabila dia menjadi pengurus yang baik."