Cameroon dilucutkan hak daripada menganjurkan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019 disebabkan kelewatan persediaan terhadap penganjuran kejohanan itu.

Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat di Accra, Ghana, awal pagi tadi.

Kejohanan yang melibatkan 24 negara itu dijadualkan berlangsung pada Jun-Julai 2019.

Cameroon, yang juga merupakan juara bertahan edisi lalu selepas menewaskan Mesir 2-1 dalam aksi final, pada awalnya dinamakan penganjur bagi kejohanan yang hanya melibatkan 16 pasukan.

Bagaimanapun, CAF bertindak menambah penyertaan pasukan kepada 24 negara ketika simposium di Maghribi pada Julai tahun lalu.

Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan tentang keselesaan negara-negara bertanding dalam setiap fasa kejohanan.

Hasil pemeriksaan turut mendapati kelewatan yang ketara dalam penyediaan prasarana, Ogos lalu.

Kajian pada Oktober lalu pula menimbulkan isu keselamatan di venue-venue pertandingan.

"Berdasarkan perdebatan dan keputusan kajian menerusi lawatan selama hampir 18 bulan, CAF mendapati beberapa syarat pematuhan tidak dapat dipenuhi pihak penganjur," kata kenyataan rasmi CAF.

"Dengan kenyataan daripada wakil kerajaan dan badan sukan tertinggi Cameroon, CAF mendapati terlalu banyak keperluan penganjuran AFCON yang masih gagal dipenuhi.

"Selain itu, selepas mendengar kesimpulan daripada Pasukan Keselamatan CAF yang melawat Cameroon sebelum ini, CAF tidak mahu menerima sebarang risiko penganjuran bagi kejohanan paling berprestij di Afrika itu.

"Bagi mengelakkan sebarang penangguhan dalam kalendar kejohanan, CAF memutuskan AFCON 2019 tidak akan berlangsung di Cameroon."

CAF turut mengesahkan Cameroon tidak mempunyai sebarang hak untuk mengemukakan rayuan.

Badan pengelola itu akan menamakan penganjur berdasarkan proses bidaan baru, hujung tahun ini.