England tidak akan memikirkan perkara lain kecuali mencatat kemenangan apabila turun berdepan Belgium pada awal pagi Jumaat ini, kata pemain pertahanan, Gary Cahill.

Tatkala kedua-dua pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua Piala Dunia 2018, dua gergasi Eropah itu akan berentap di Kaliningrad untuk menentukan pasukan mana akan meneruskan kemaraan selaku juara Kumpulan G.

Melihat kepada kemungkinan akan berdepan Brazil atau Jerman jika muncul juara kumpulan, England dirasakan lebih baik berada di tangga kedua di belakang Belgium.

Bagaimanapun, Cahill tidak mahu memikirkan aspek itu, sebaliknya menuntut agar pasukannya mengekalkan rentak kemenangan bagi menghadapi saingan 16 terakhir.

"Tidak, perbincangan hanya untuk memenangi perlawanan," katanya.

"Itu perkara sebenar. Tidak kira bagaimana situasi dalam kumpulan, ia tetap pentas yang besar.

"Setiap orang memerhatikannya dan ia berbeza berbanding aksi persahabatan atau pramusim. Kami harus turun ke padang dan memenangi perlawanan. Cipta momentum untuk mengekalkan keyakinan.

"Anda tidak boleh memandang terlalu jauh tetapi terus berdepan dengan apa yang akan dilalui. Sebenarnya, dalam pusingan kedua nanti, kami akan berdepan pasukan yang hampir sama, tidak kira menamatkan peringkat kumpulan di tangga pertama atau kedua."

Cahill menegaskan dia telah belajar daripada kesilapan apabila tumbang di tangan Iceland ketika Euro 2016 kerana terlalu memikirkan Perancis yang bakal menjadi lawan seterusnya jika menang.

"Kami melihat elemen dalam pertemuan dengan Perancis di stadium mereka dan akhirnya gagal melakukannya.

"Anda boleh mempersiapkan diri tetapi mesej sebenar buat kami adalah sentiasa cuba untuk memenangi perlawanan," katanya.