CHELSEA 1 VIDI 0

"Jaringan kemenangan ini akan meningkatkan keyakinan Alvaro Morata," kata Gary Cahill selepas penyerang itu meledak gol kemenangan Chelsea ketika menundukkan Vidi 1-0 dalam saingan Kumpulan L, Liga Europa, awal pagi tadi.


Walaupun Morata terlepas peluang terbaik dalam babak pertama, namun penyerang antarabangsa Sepanyol itu berjaya menghasilkan penyudah menarik dalam babak berikutnya.

Kali terakhir Morata menjaringkan gol ialah ketika membantu pasukannya menewaskan Arsenal 3-2, pertengahan Ogos lalu.

Menurut Cahill, seluruh pasukan teruja apabila penyerang itu berjaya menamatkan kemarau jaringan yang panjang.

"Tugas ini sudah selesai," kata Cahill kepada BT Sport.

"Perlawanan seperti ini amat sukar, apa yang penting adalah kami mengekalkan semangat yang tinggi.

"Kami terus mencuba dan kami memperolehnya. Mereka kental bertahan dan kerap kali mengecewakan kami.

"Kami terlepas beberapa peluang, namun Alvaro Morata menjaringkan gol kemenangan kami.

"Saya pasti setiap penyerang akan lebih yakin selepas menjaringkan gol.

"Morata melakukan larian yang baik hari ini dan kami gembira dia kembali menjaringkan gol," tambah Cahill.