Menjadi penjaga gol skuad bola sepak lima sepasukan bukan mudah buat Meor Shahrul Azhar Mat Salleh yang turun selaku atlet normal bagi mempertahankan gawang daripada pemain yang cacat penglihatan.

Dalam pasukan bola sepak lima sepasukan cacat penglihatan, hanya penjaga gol yang tidak mengalami sebarang kecacatan, berbeza dengan barisan pemain lain.

Itulah tanggungjawab Meor selaku penjaga gol skuad kendalian M. Shalesh ini yang menyifatkan pemain cacat penglihatan bukanlah calang-calang dalam mencari peluang menjaringkan gol.

Dia yang telah bersama pasukan sejak setahun lalu, menganggap pendengaran pemain-pemain ini luar biasa kerana mampu mengatasi penjaga gol yang dapat melihat dan itulah cabaran besar yang dihadapinya setakat ini.

"Kawasan penjaga gol dalam saingan skuad bola sepak lima sepasukan ini agak terhad. Keluasan gawang gol yang dibesarkan menyukarkan lagi untuk memastikan gawang gol tidak dibolosi," kata Meor Shahrul Azhar.

Berbaki lebih kurang 10 hari untuk Kejohanan Bolasepak Cacat Penglihatan Asia 2017 bagi kelayakan ke Piala Dunia, Shalesh kini hanya fokus kepada teknik pergerakan bola ke gawang gol dan tidak terlalu menekankan taktikal perlawanan bagi mengelakkan kecederaan berlaku pada saat-saat akhir.

"Sekarang kami telah mengubah perancangan program latihan dengan mengutamakan daripada segi teknikal bagi mengelak daripada sebarang kecederaan berlaku," katanya.