Pengarah Perhubungan Institusi Real Madrid, Emilio Butragueno, memberi sokongan buat Julen Lopetegui dengan menyatakan pengurus itu meraih seluruh kepercayaannya.

Lopetegui berada di bawah tekanan hebat selepas juara Eropah itu melewati empat perlawanan terakhir tanpa sebarang kemenangan yang jelas berpunca daripada ketumpulan penyudah.

Real Madrid gagal meraih sebarang jaringan dalam keempat-empat perlawanan tersebut yang menyaksikan mereka tewas kepada Sevilla, CSKA Moscow dan Deportivo Alaves selain terikat seri tanpa jaringan ketika menentang Atletico Madrid.

Namun, bagi Butragueno, dia sedia memberikan sokongan penuh buat bekas ketua jurulatih Sepanyol itu menjelang pertembungan LaLiga dengan Levante, malam ini.

"Kami mempunyai pasukan teknikal yang baik.

"Kami mempercayai keupayaan mereka dan kami yakin kami akan terus memperoleh musim yang baik.

"Kami sentiasa beraksi untuk menang tidak kira di mana sahaja kami bermain kerana kami mempunyai berjuta-juta peminat di seluruh dunia," kata Butragueno.

Real Madrid berada di kedudukan kelima liga setakat ini, namun berpeluang melonjak ke kedudukan teratas liga sebelum perlawanan melibatkan seteru-seteru mereka bermula.