Burki persoal keinginan Dortmund selepas dibelasah Hoffenheim

Oleh Muzaffar Musa 28 Jun 2020 621
Burki persoal keinginan Dortmund selepas dibelasah Hoffenheim
Roman Burki mempersoalkan keinginan rakan sepasukannya selepas Borussia Dortmund diabkan dengan kekalahan 0-4 di tangan Hoffenheim dalam perlawanan terakhir Bundesliga di Signal Iduna Park malam tadi.

Kempen Dortmund musim ini ditamatkan dengan dua kekalahan berturut-turut di laman sendiri gara-gara empat jaringan Andrej Kramaric dalam 50 minit pertama.

Skuad kendalian Lucien Favre itu tidak mempamerkan prestasi sebenar memandangkan mereka sudah mengesahkan kedudukan selaku naib juara musim ini sebelum dibelasah Hoffenheim, yang melonjak ke tangga keenam, sekali gus layak beraksi dalam Liga Europa musim depan.

Burki berkata keputusan itu membuktikan bahawa tiada keinginan daripada skuad BVB itu sejak 45 minit pertama, di mana Kramaric menjaringkan dua daripada keseluruhan empat golnya.

"Dalam 45 minit pertama, anda dapat melihat satu pasukan yang mahukan kemenangan dan satu pasukan lagi tidak mahukannya," katanya kepada Sky.

"Ia tidak sepatutnya seperti itu. Ia perlawanan Bundesliga.

"Kami sepatutnya gembira kerana dapat bermain di sini.

"Banyak perkara yang tidak betul dan begitulah keputusannya," katanya.
 
Dortmund hanya ketinggalan empat mata di belakang Bayern Munich sewaktu Bundesliga bersambung bulan lalu dan kemenangan 4-0 ke atas Schalke dalam perlawanan pertama menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bersaing dengan seteru tradisi itu.

Bagaimanapun, jurang mata terakhir mereka dengan Bayern adalah 13 mata di mana lawan itu tidak berdepan masalah untuk merakamkan gelaran kelapan berturut-turut dengan memenangi kesemua sembilan baki perlawanan selepas waktu rehat panjang berikutan pandemik Covid-19.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen