Burki: Dortmund terlalu lembab sehingga diikat Brugge 

Oleh Staff Writer 29 November 2018 85
Burki: Dortmund terlalu lembab sehingga diikat Brugge 
BORUSSIA DORTMUND 0 CLUB BRUGGE 0

Penjaga gol Borussia Dortmund, Roman Burki, berasakan kelab Jerman itu tidak "cukup bergerak" ketika mereka dipaksa seri 0-0 dengan Club Brugge dalam Liga Juara-Juara (UCL) di laman sendiri, awal pagi tadi.


Keputusan itu menghantar Dortmund ke pusingan seterusnya, namun kemenangan 2-0 Atletico Madrid ke atas Monaco membenarkan anak buah Diego Simeone itu menguasai Kumpulan A.

Dortmund berada di puncak sepanjang permainan menentang Brugge dan mencipta peluang lebih baik yang menyaksikan Christian Pulisic dan Marco Reus melepaskan dua peluang berharga dalam babak pertama.

Dalam separuh masa kedua, mereka buntu untuk menembusi kubu Brugge yang teratur dan Burki melahirkan kekecewaannya terhadapi pergerakan kaku barisan serangan Dortmund, dengan Atletico dilihat sebagai pilihan utama untuk maju sebagai pemenang kumpulan menjelang perlawanan terakhir kumpulan. 

"Kami tidak cukup bergerak di bahagian serangan," kata Burki seperti yang dipetik daripada UEFA.com. "Kami mempunyai tiga peluang yang menarik tetapi gagal memanfaatkannya. 

"Akhirnya, kami tidak dapat berbuat sesuatu di depan gawang mereka. Sudah tentu saya kecewa kerana kami gagal menang malam ini."

Pengurus Besar, Michael Zorc, bersetuju dengan Burki sambil menekankan peluang yang disia-siakan selain tidak cukup pantas dalam gerakan semasa menguasai permainan. 

"Ia perlawanan yang sukar dan juga tidak bagus untuk kami," katanya. "Kami memiliki dua peluang terbuka dalam separuh masa pertama.

"Kami tidak memanfaatkannya, kemudian situasi menjadi semakin sukar. Kami agak lembab dalam soal hantaran. Mereka sentiasa dapat turun bertahan dan kami tidak dapat mencari jurang."

Jurulatih Brugge, Ivan Leko, sebaliknya lebih ceria sambil menegaskan keputusan itu adalah salah satu yang terbaik dalam sejarah kelabnya. 

"Sekali lagi, ini merupakan sejarah bagi kami di sini di Dortmund, berdepan sebuah pasukan yang mampu bermain dengan baik di Jerman dan UCL," kata pengendali dari Croatia berkenaan. 

"Pelan kami berjalan dengan sempurna. Dortmund tidak mempunyai banyak ruang.

"Walaupun kami mempunyai dua atau tiga peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, namun kami harus gembira dengan hasil yang kami capai di sini."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen