Bundesliga hendaklah "mencermin diri sendiri" berikutan prestasi hambar pasukan-pasukannya dalam saingan Eropah, kata bekas pengarah sukan Bayern Munich, Matthias Sammer.

Bayern, RB Leipzig dan Borussia Dortmund kesemuanya tewas dalam Liga Juara-Juara minggu lalu manakala Hoffenheim, Cologne dan Hertha Berlin kalah dalam Liga Europa – dengan Freiburg sudah pun tersingkir dalam pusingan kelayakan.

Timbul beberapa kritikan di Jerman terhadap langkah pasukan berbelanja besar di Eropah – dengan pasukan yang mengalahkan Bayern, Paris Saint-Germain (PSG), antara yang membuat pelaburan besar ketika jendela perpindahan musim panas lalu.

Namun, Sammer percaya ia bukan alasan buat kekalahan pasukan-pasukan Bundesliga akhir-akhir ini.

“Kelab-kelab kita kalah kepada kelab-kelab dengan dana lebih kecil dalam Liga Europa,” katanya kepada Bild.

"Bagaimanakah prestij antarabangsa kita jika ketiadaan Bayern dan Dortmund (dalam saingan Eropah). Malangnya, Bundesliga ketandusan kualiti tertinggi pada ketika ini.

"Bundesliga hendaklah mencermin diri sendiri. Bola sepak Jerman hendaklah berkaitan dengan prestasi berbanding berselindung di sebalik alasan mengenai tidak berbelanja besar,” katanya.