Bundesliga: Penyokong Dortmund dibenarkan ke stadium saksi perlawanan pembukaan 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 September 2020 75
 Bundesliga: Penyokong Dortmund dibenarkan ke stadium saksi perlawanan pembukaan 
Perlawanan pembukaan Borussia Dortmund di laman sendiri bertemu Borussia Monchengladbach musim ini akan diadakan di hadapan sekitar 10,000 penyokong.

Kelab Bundesliga itu dilaporkan telah menerima lampu hijau bagi membenarkan penyokong kembali ke stadium untuk permulaan musim 2020-21 di Jerman di sebalik ancaman COVID-19. 

Kempen musim lalu disambung semula pada Jun di gelanggang tertutup ekoran penularan pandemik itu yang memaksa liga ditunda sejak Mac.

Namun, dengan musim baru Bundesliga yang bermula awal pagi Sabtu ini, ia dijadikan sebagai penanda aras -- bagi meluluskan hasrat untuk memenuhi 20 peratus kapasiti stadium sementara syarat kebersihan yang ketat akan dikenakan manakala alkohol turut dilarang.

 

Peminat yang jauh tidak akan dibenarkan hadir selain perlawanan kembali diadakan secara tertutup sekiranya kadar jangkitan di bandar venue perlawanan terlalu tinggi dalam jangka masa tujuh hari.

Semalam, Dortmund mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan hadir untuk menyaksikan pertembungan dengan Gladbach di Signal Iduna Park, di mana hanya penduduk Dortmund atau North Rhine-Westphalia sahaja yang akan diberi akses.

"Pasukan Bundesliga, kelab serta persatuan sukan yang lain pasti sangat gembira (dengan perkembangan) hari ini, lebih-lebih lagi kami di BVB," kata ketua eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke dalam satu kenyataan.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua ahli politik yang menyumbang kepada keputusan hari ini dalam beberapa minggu terakhir.

"Pada masa yang sama, saya berasakan adalah menjadi satu kewajiban besar buat kami sebagai kelab, bersama dengan peminat yang terlibat, untuk memikul langkah percubaan ini dengan penuh bertanggungjawab dalam minggu-minggu mendatang. Persetujuan membenarkan semula kehadiran semula penonton adalah langkah yang sangat penting buat semua peminat bola sepak di Jerman."

Musim lalu, Dortmund menduduki tempat kedua di belakang seteru ketat, Bayern Munich, sementara Gladbach meraih kelompok empat teratas untuk layak beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL). 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen