Hansi Flick sudah pun mengadakan perbincangan dengan Oliver Kahn sejak Bayern Munich tersingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) tetapi menegaskan masa depannya sendiri di kelab itu masih belum dibincangkan.

Kahn, yang akan menggalas tugas ketua pegawai eksekutif (CEO) dengan mengambil alih peranan Karl-Heinz Rummenigge pada akhir musim ini, mungkin memerlukan jawapan daripada pengendali itu.

Flick, 56, yang meraih tiga kejuaraan utama musim lalu, telah dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Jerman.

Khabar angin mengenai hasrat Flick untuk menggantikan Joachim Low sejurus tamat pusingan Euro 2020, Jun depan, dianggap penting memandangkan dia memiliki banyak kesempatan untuk menolak khabar angin tersebut.

Hubungan dinginnya dengan Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic, juga menguatkan lagi spekulasi Flick akan meninggalkan gergasi Bavaria itu pada akhir kempen ini.

Bercakap selepas usaha mempertahankan gelaran UCL berakhir di tangan Paris Saint-Germain (PSG), kelmarin, Flick mendedahkan dia belum membincangkannya secara terperinci dengan Kahn selain tidak tahu apa yang ingin dibincangkan oleh bekas penjaga gol itu.

Namun, Flick memberitahu sidang media semalam: "Saya sempat bercakap dengan Oliver Kahn sebentar tetapi mengenai perkara-perkara lain. Nampaknya tiada tekanan kepada saya atau kami. Pertemuan kami sangat singkat. Kami bercakap mengenai minggu ini dan betapa pentingnya minggu ini.

"Kami juga membincangkan keadaan kami selepas tersingkir daripada UCL. Itulah yang kami bicarakan -- tiada yang lain, bukan mengenai masa depan."




Pendahulu Bundesliga itu akan menghadapi Wolfsburg malam ini sebelum menghadapi Bayer Leverkusen pada Rabu depan dengan kedua-dua lawan tersebut sedang bersaing sengit di kelompok enam teratas dan mengejar objektif masing-masing. Anak buah Flick kemudian akan menentang Mainz pada hujung minggu depan.

Tambahnya: "Semua orang di kelab ini tahu betapa pentingnya minggu ini. Saya ada terdengar bahawa kami berpeluang meraih bintang kelima seandainya kami mengesahkan kejuaraan. Ia akan menjadi satu pencapaian yang hebat."

Bekas penolong Jerman itu, bagaimanapun, mendedahkan dia mengalami kegelisahan pada waktu malam.

"Perasaan tersingkir daripada UCL masih bersisa -- ia bukan mudah untuk dilupakan," katanya.

"Saya tidak tidur nyenyak hingga saat ini. Saya rasa anda mungkin boleh memahaminya. Apa yang pasti kehidupan perlu diteruskan. Kami masih mempunyai cabaran besar, tiga perlawanan penting di depan untuk mencapai sasaran kami musim ini."