Pihak Bundesliga mahu menyambung aksi secara tertutup pada awal bulan depan selepas didedahkan oleh Ketua Eksekutif Liga Bolasepak Jerman (DFL), Christian Seifert.

Dua divisyen tertinggi Jerman ditangguhkan sehingga 30 April ini susulan wabak coronavirus.

Berdasarkan laporan Universiti John Hopkins, Jerman telah menerima 110,000 kes COVID-19 dan muncul selaku negara keempat tertinggi di Eropah dengan 2,100 kematian.

Seifert mengesahkan perancangan kepada New York Times untuk menyambung semula aksi Bundsesliga dan 2.Bundesliga bulan depan tanpa penyokong.

"Kami sebahagian daripada budaya negara ini, orang ramai memerlukan masa untuk kembali menjalani kehidupan normal dan menyambung semula aksi Bundesliga memberi makna besar," katanya.

"Sebab itu kami harus memainkan peranan, menyokong kerajaan dan berbincang mengenai tempoh untuk mengadakan semula saingan.

"Apabila kami selesai, lebih banyak perkara dapat kami sumbangkan kepada lanskap bola sepak Eropah."


Sementara itu, Ketua Eksekutif Bayern Munich, Herbert Hainer, berkata dia menjangkakan penurunan harga pemain susulan wabak coronavirus dan percaya ia mampu membawa kepada kemusnahan jendela perpindahan.

"Dalam tempoh masa pendek, saya boleh katakan jendela perpindahan musim panas ini tiada dan akan hilang," katanya.

"Sesetengah ejen faham mereka perlu bekerja keras atau sekurang-kurangnya ada liga yang harus memahami bahawa wang tidak datang dari syurga."