Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, menegaskan tiada kriteria istimewa yang ditawarkan buat Syafiq Ahmad untuk menggugat persediaan skuad itu untuk menghadapi Kejohanan AFC B-23 di China, bulan depan.

Ketika nama penggempur Kedah itu digugurkan, ada kekeliruan berlaku kerana Syafiq dikhabarkan sudah pun bersedia untuk melaporkan diri di Wisma FAM, semalam.

Sebaliknya, reaksi Kim Swee mencerminkan jurulatih itu sudah tidak mahu lagi membincangkan sebarang kaitan berkenaan Syafiq apabila keputusannya kelmarin cukup jelas untuk difahami.

"Tiada latihan khusus akan dilakukan berikutan ketiadaan Syafiq.

"Latihan akan tetap diteruskan dan saya yakin penyerang seperti Hadi Fayyadh Abdul Razak, Akhyar Rashid dan Sean Eugene Selvaraj yang tidak dibariskan dalam Sukan SEA mampu melakukan tugas dengan baik," katanya yang menyaksikan Malaysia diundi bertemu pasukan gergasi Asia Barat, iaitu Iraq, Jordan dan Arab Saudi dalam Kumpulan C.

Tegas Kim Swee, tiada keistimewaan ketara yang mampu ditawarkan Syafiq kerana dia yakin barisan pemain lain juga sedia untuk memberi khidmat terbaik mereka sepanjang tiga perlawanan di China nanti.

Pengendali itu turut memberi amaran tiada jalan mudah untuk pemainnya merebut kesebelasan terbaik biarpun membawa kredibiliti selaku tonggak skuad Sukan SEA 2017 dan juga tunjang utama dalam pusingan kelayakan di Bangkok.

"Tiada jalan mudah untuk setiap pemain biarpun berstatus pemain kebangsaan, pernah bermain dalam Sukan SEA mahupun pusingan kelayakan Kejohanan AFC.

"Saya akan memilih pemain berdasarkan latihan selama tiga minggu ini, termasuk perlawanan persahabatan di Korea Selatan nanti," tegasnya.