Thomas Tuchel menganggap Zinedine Zidane begitu meminati penggempur Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe, kerana pemain itu sukar untuk dipancing.

Bercakap menjelang pertemuan PSG dengan Real Madrid dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok, pengurus Los Blancos, Zinedine Zidane, mengesahkan kekagumannya terhadap pemain antarabangsa Perancis berkenaan dengan berkata: "Saya sudah jatuh cinta dengannya."

Tuchel mentertawakan cadangan bahawa dia berang dengan tindakan Zidane itu apabila mengatakannya, pengurus kelab Sepanyol tersebut bukanlah satu-satunya orang yang meminati pemenang Piala Dunia berusia 20 tahun itu.

"Saya tidak tahu sejauh manakah cinta Zidane terhadap Mbappe tetapi kami sangat mencintai pemain kami," katanya dalam sidang media.

"Perkara paling penting adalah dia merupakan tonggak kami. Kami gembira kerana dia bersama kami. (Selalunya) apabila anda tidak memiliki perkara yang anda mahukan, anda akan lebih mengidamkannya."

PSG menumbangkan Madrid 3-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, September lalu, tetapi Tuchel menjangkakan ujian yang lebih sukar di Santiago Bernabeu.

"Ini adalah perlawanan yang berbeza atas banyak sebab," katanya. "Yang pertama, kami akan bermain di Madrid -- salah satu stadium yang paling sukar untuk beraksi. Madrid mempunyai pemimpin dan kapten di seluruh lapangan.

"Ketika ini, mereka bermain dengan baik dan dalam prestasi yang hebat, mereka telah mencatat lebih banyak kemenangan dan tidak melepaskan banyak gol.

"Adalah sangat sukar untuk menentang Madrid ketika ini, khususnya apabila mereka berada di tempat sendiri. Tetapi kami adalah pasukan yang seimbang, kami berbahaya dan kami akan memberikan cabaran buat mereka.

"Saya benar-benar yakin bahawa sudah tiba masanya untuk mengambil peluang ini kerana kami boleh menjadi sangat berbahaya sekiranya saling bekerjasama dan jika kami bersabar.

"Ini merupakan detik yang baik untuk menunjukkan kepada orang ramai dan membuktikan bahawa kami boleh beraksi dalam perlawanan yang hebat dan getir seperti ini. "

Juara Ligue 1 itu sudah layak ke peringkat kalah mati selepas memenangi keempat-empat perlawanan di peringkat kumpulan.

Tuchel menuntut pasukannya bermain dengan kekuatan serupa yang telah mencerminkan kempen mereka setakat ini apabila berdepan anak buah Zidane itu.

"Kami telah menunjukkan keamatan yang hebat dengan bola ketika di peringkat kumpulan dan ia benar-benar hebat," katanya.

"Ini adalah kuncinya. Tanpa kerjasama seluruh pasukan, tidak mungkin untuk memenangi perlawanan dalam UCL. Jika kami mahu menang di Madrid, kami wajib bermain seperti itu. Ia satu cabaran dan kami telah meletakkan penanda arasnya."