JUVENTUS 1 LAZIO 3

Maurizio Sarri mengakui Juventus kekurangan tenaga ketika tewas 1-3 kepada Lazio dalam penentuan Piala Super Itali di Riyadh, Arab Saudi, awal pagi tadi.


Namun, pengurus itu menegaskan pemilihan Cristiano Ronaldo, Paulo Dybala dan Gonzalo Higuain di bahagian serangan tidak boleh dipersalahkan.

Skuad Bianconeri itu tewas kepada Lazio buat kali kedua sepanjang bulan ini dan mereka gagal mempertahankan Piala Super Itali apabila Senad Lulic menjaringkan satu gol dan membantu dua jaringan lain untuk menobatkan Lazio sebagai pemenang baru.

Kekalahan di Arab Saudi itu juga menampilkan gandingan Ronaldo, Dybala dan Higuain, yang memenangi perlawanan dengan Udinese dan Sampdoria sebelum ini.

Walaupun mengakui terdapat kekurangan dalam persembahan Juve, Sarri menjelaskan mengapa dia menggantikan Higuain dengan Aaron Ramsey -- pemain tengah -- ketika perlawanan masih terikat 1-1.

"Kami turun ke perlawanan ini dengan kekurangan tenaga secara fizikal dan mental," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

"Ia boleh berlaku. Lazio pula sedang berada dalam prestasi yang luar biasa.

"Kami sedih kerana kehilangan gelaran itu tetapi masih banyak kejohanan yang perlu dihadapi sepanjang lima bulan ini.

"Terdapat kemarahan tetapi tangisan itu tidak akan menyelesaikan masalah.

"Kami tidak kalah kerana meletakkan tiga pemain di depan kerana kami dibolosi buat kali kedua dan ketiga selepas saya memasukkan seorang pemain tengah," katanya.

Selepas dua kekalahan di tangan Lazio, Juventus mungkin menyedari mereka tidak boleh lagi tewas kepada seteru dari Rome itu seandainya mahu menjulang Scudetto.

Lazio kini di tangga ketiga Serie A, ketinggalan enam mata di belakang pasukan di tangga kedua, Juve, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Sarri menambah: "Saya mempunyai rekod positif ketika menentang Lazio dan saya tidak fikir pemain saya akan terkesan dengan dua perlawanan ini.

"Seperti yang saya katakan, saya tidak fikir final ini boleh memberikan kesan dalam saingan liga sepanjang lima bulan yang akan datang."