Bukan salah Lopes -- Garcia

Oleh Staff Writer 24 Oktober 2019 197
Bukan salah Lopes -- Garcia
BENFICA 2 LYON 1

Rudi Garcia menegaskan Lyon tidak menyalahkan Anthony Lopes di atas kekalahan 2-1 kepada Benfica dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.


Kesialapan yang dilakukan Lopes menyaksikan skuad kendalian Garcia itu tewas 2-1 kepada Benfica dalam aksi Kumpulan G.

Penjaga gol itu yang cuba melakukan hantaran pantas untuk melancarkan serangan, namun ia menghukum mereka apabila hantaran tersebut dipintas penyerang lawan, Pizzi, untuk meledak gol mudah.

Memphis Depay menafikan jaringan pembukaan Rafa Silva pada minit keempat di Lisbon, di mana Lyon sekadar mengumpul empat mata selepas tiga perlawanan.

"Saya masih belum bertemu Lopes tetapi saya akan cuba untuk menenangkan dirinya," kata Garcia.

"Semua orang melakukan kesilapan. Kami bersamanya. Semestinya jaringan tersebut hadir bukan pada masa yang bersesuaian. Kami hampir menang dalam perlawanan ini, namun terpaksa berputih mata.

"Lyon gagal menampilkan permainan terbaik dalam separuh masa pertama, kami memiliki pemain-pemain yang berkualiti tetapi harus menampilkan aksi yang lebih berkesan.

"Mengenai Lopes, ia adalah satu kesilapan yang tidak diduga, kami tidak menyalahkan dirinya. Dia menjadi mangsa kerana mahu segera melakukan serangan. Dia mahu kami menjaringkan gol kedua dan dia terlalu tergesa-gesa. Saya mempercayai kemampuannya untuk meraih lebih banyak mata musim ini."

Selepas dua kekalahan dalam saingan UCL, Benfica meraih kemenangan pertama musim ini.

Jaringan kemenangan Pizzi membenarkan Benfica meraih tiga mata, ketinggalan satu mata di belakang Zenit dan Lyon menjelang aksi keempat.

"Kami sudah mahir dengan permulaan saingan," kata jurulatih Benfica, Bruno Lage. "Kami menampilkan permainan agresif dalam separuh masa pertama. Lyon menampilkan permainan yang lebih baik dalam separuh masa kedua tetapi mereka tidak menghadirkan ancaman.

"Secara keseluruhan, kami memiliki lebih banyak peluang berbanding lawan dan ini adalah kemenangan yang berhak diraih."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen