ARSENAL 6 LUDOGORETS 0

Theo Walcott mendakwa kemenangan Arsenal ke atas Ludogorets dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bukan mudah meskipun melakar kemenangan besar 6-0 di Stadium Emirates.

Skuad kendalian Arsene Wenger melakar kemenangan selesa untuk kekal mendahului Kumpulan A, dengan Alexis Sanchez, Walcott dan Alex Oxlande-Chamberlain membuat sumbangan sebelum Mesut Ozil meledak hatrik.

Bagaimanapun, Arsenal diberi tekanan oleh kelab dari Bulgaria itu dan Walcott -- yang menjaringkan gol dari jarak jauh -- tidak berasakan kemenangan itu hadir dengan mudah.

"Gol yang dijaringkan cukup cantik tetapi sasaran utama kami adalah memastikan gawang kami tidak dibolosi," katanya.

"Kami tahu kemampuan kami ketika menyerang, namun penting untuk kami kekal tersusun ketika bertahan -- dan kami melakukannya dengan baik musim ini.

"Ludogorets bermula dengan baik. Mereka dibarisi pemain teknikal dan walaupun keputusan perlawanan tampak mudah, namun bukan pada kami.

"Kami boleh berbangga dengan keputusan ini dan fokus terhadap perlawanan seterusnya berdepan Middlesborough dalam saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini."

Pemain pertahanan, Shkodran Mustafi, turut setuju dengan analisis rakan sepasukannya itu.

"Kami menang 6-0 tetapi Ludogorets tetap lawan sukar," katanya. "Mereka bermain dengan baik.

"Saya tidak menyangka dengan kemenangan besar ini kerana Ludogorets bermain dengan cukup baik. Mereka turun dengan penuh keyakinan.

"Tetapi kami tidak mensia-siakan peluang yang hadir -- itulah yang kami lakukan."