Bukan mudah untuk singkirkan PSG -- Neymar

Oleh Ammar Hakim 13 Ogos 2020 378
Bukan mudah untuk singkirkan PSG -- Neymar
Neymar berkata 'mustahil' untuk menghalang Paris Saint-Germain (PSG) untuk memenangi Liga Juara-Juara (UCL) jika mereka mengulangi semangat enggan menyerah kalah ketika bangkit daripada ketinggalan sebelum menang 2-1 ke atas Atalanta.

Juara Perancis itu kelihatan menuju satu lagi kekalahan dalam saingan UCL awal pagi tadi di Lisbon selepas ketinggalan menerusi jaringan Mario Pasalic ketika perlawanan menghampiri masa kecederaan.

Bagaimanapun, Marquinhos menyamakan kedudukan pada minit ke-90 dan Eric Maxim Choupo-Moting menampan masuk gol kemenangan 149 saat kemudian untuk melengkapkan kebangkitan.

Di sebalik pasukan yang di ambang penyingkiran kepada Atalanta, Neymar menegaskan dia tidak pernah bimbang untuk tersingkir daripada pertandingan tersebut.
 

"Saya tidak pernah memikirkan penyingkiran, saya tidak pernah terfikir untuk pulang ke rumah," katanya. "Daripada mula hingga akhir, kami hanya memikirkan untuk layak ke separuh akhir.

"Tiada sesiapa yang boleh menggugat tumpuan saya -- saya mahu ke final dan pasukan telah berusaha untuk mencapai sasaran itu.



"Kami sangat gembira, mengharungi pengalaman perkara yang sangat kuat. Kami merupakan satu kumpulan, keluarga, yang memiliki mentaliti mustahil untuk menyingkirkan kami.

"Kami tidak berputus asa, walaupun dalam situasi sukar. Keinginan saya untuk memenangi (UCL) tidak pernah padam."

PSG mara ke separuh akhir buat pertama kali sejak musim 1994-95, dengan RB Leipzig atau Atletico Madrid menjadi halangan seterusnya di Lisbon Ahad ini, dan Neymar terdesak untuk meneruskan cabaran hingga ke penghujung.

"Hanya satu perlawanan lagi sebelum ke final. Kami akan memberikan yang terbaik, dan cuba untuk memenanginya."
 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen